Teman-temanku

Google+ Followers

Tuesday, February 19, 2013

Cedok Air Guna Raga..

Ada satu kisah yang cukup popular. Che Long pernah dengar kisah ini dari seorang murabbi yang amat dihormati. Kisah tentang seorang anak murid dan guru mengaji al-Quran yang zuhud.

*****

Arakian bermula di sebuah kampung. Seorang anak murid yang sedang belajar mengaji al-Quran dengan seorang guru di kampungnya telah datang berjumpa gurunya pada suatu petang. "Apa guna saya mengaji kalau saya tidak tahu makna al-Quran, Tok?" Tanya murid tersebut dengan sedikit nada tidak puas hati.

     "Bacalah dahulu perlahan-lahan, nanti Tok akan ajarkan maknanya kemudian," jawab gurunya dengan baik.

     "Tapi Tok, saya rasa jemu dan tak berfaedah kalau saya belajar tanpa faham maknanya," jawab si murid.

     "Baiklah, hari ini kita berhenti sekejap belajar mengaji dan Tok akan ajar sesuatu yang mungkin berguna buat kamu.," kata Tok guru. Sang murid kembali ceria mendengar jawapan gurunya.

     Tok guru lalu menyerahkan kepada muridnya sebuah raga rotan yang diambil di belakang rumahnya dan berkata, "Pergilah kamu cedok air di sungai dan penuhkan kolah madrasah kita ini."

     Si murid lantas kehairanan namun beranggapan bahawa ajaran gurunya kali ini agak menarik dan mengharapkan sesuatu yang luar biasa akan berlaku. Dia terus ke sungai dan mencedok air dengan menggunakan raga tersebut dan tergesa-gesa berlari untuk menuangkan air ke kolah madrasah. Malangnya, setiap kali dia sampai di kolah, air di dalam raga telah habis kerana menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu. Berulang kali dilakukannya namun air tetap menitis keluar dan kolah tidak dapat dipenuhi.

     "Tok, saya rasa perbuatan ini tiada gunanya. Lebih baik Tok berikan timba kepada saya, tentu lebih bermakna dan lebih cepat air kolah dapat dipenuhkan!"

     Tok guru tersenyum sambil berkata perlahan, "Setiap yang Tok suruh pasti ada maknanya."

    "Apa maknanya Tok?" 

    "Menimba air dengan raga samalah dengan mengaji Al-Quran tanpa mengetahui maknanya," jawab gurunya.

    "Tidak ada faedah kedua-duanya? Itukah maksud Tok?" pintas si murid.

     "Kedua-duanya berfaedah," jawab Tok guru tenang. Si murid bertambah hairan.

     "Cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi itu. Mulanya ia kering dan kotor. Tapi sekarang bukankah sudah basah dan bersih disebabkan kamu berulang-ulang mencelupkannya di dalam air? Walaupun kolah tidak penuh tetapi raga itu menjadi lebih bersih. Betul tak?"
    
     "Betul tu Tok," jawab sang murid mengiakan sambil tersengih lebar.

     "Ha, begitulah juga hati kamu ketika berulang-ulang kali membaca al-Quran. Walaupun kamu masih belum faham maknanya tetapi sekurang-kurangnya hati kamu sedang dibersihkan daripada kealpaan dan godaan syaitan laknatullah."

     Muridnya mengangguk faham. Sedarlah dirinya kini akan kehebatan gurunya yang bukan setakat mengajar tetapi juga mendidik. Sang murid akhirnya belajar bersungguh-sungguh mengaji al-Quran dengan gurunya setelah menyedari bahawa tidak ada kebaikan yang sia-sia dan tidak berguna.

******
Lensa Che Long: Selagi ilmu yang baik diajar kepada murid yang berterusan mengamalkannya, saham pahala juga turut dapat dikongsi bersama kita. Alangkah hebatnya jasa seorang guru.
Ingat, jangan lupa bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan ada faedah dan berguna untuk diri kita sendiri juga.



No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

Follow by Email