Teman-temanku

Sunday, September 16, 2018

Pengalaman DPLI UNISZA 2018

Hulamak hui.. Lamanya tak blogging. Rindu betul nak menulis dan meluah di sini. Sejak kahwin 2014 dulu, kemudian dianugerahkan anak seorang, 2018 inilah  tulisan yang terbaru. Biasanya asyik update FB atau IG je. Blog ni pun dah 'bersawang' molek dah ha..

Rasa nak menulis balik ni pun, sebab termotivasi selepas 2 hari lepas berderet kelas tanpa henti. Terinspirasi dengan cerita-cerita motivasi daripada para pensyarah.

Alhamdulillah, keputusan sambung belajar DPLI di Unisza ni moga-moga Allah permudahkan segala urusannya dan membuahkan yang terbaik untuk masa hadapan, amin..

Masa mula-mula dapat tahu tentang permohonan DPLI dibuka kepada umum, saya memang teruja bukan main lagi. Sebab dah bertahun-tahun lamanya saya survey tentang program ni. Sejak selepas bergraduasi pada tahun 2011 lagi, saya cuba untuk memohon program KPLI dan DPLI ini malangnya tidak dibuka program tersebut di mana-mana IPT.

Pada awalnya, saya teringin untuk memohon program DPLI UM, tapi apabila memikirkan kekangan seperti jarak jauh, kewangan dan keluarga, terasa agak berat untuk memohon. Alhamdulillah, apabila Unisza menawarkan program DPLI ini, terus saya merasakan seperti bulan jatuh ke riba. Cepat-cepat saya memohon. Cara permohonan pun mudah, hanya melalui online.

Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja daripada sekolah tempat saya mengajar sekarang yang memohon, tapi ada 4 orang lagi. Happy kemain lagi kerana bukan keseorangan. Tentu lebih seronok kalau dapat berjuang bersama dengan kawan-kawan. Beban pun dapat dipikul bersama, insya-Allah.

Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Panggilan temuduga yang dinanti-nanti tak berkunjung tiba. Rupa-rupanya saya dan seorang lagi kawan tak dipanggil untuk temuduga. Frust bukan main lagi. Tapi, saya selalu ingatkan diri agar bersangka baik dengan Allah. Mungkin ada hikmah disebalik semua yang berlaku. Jadi, saya pun meneruskan kehidupan seharian sebagai guru di sekolah dan suri rumah tangga seperti selalunya. Saya mengucapkan tahniah pada 3 lagi kawan saya yang terpilih untuk temuduga, bahkan memberikan mereka motivasi supaya menerima tawaran emas yang bukan senang untuk didapati.

Hari demi hari berlalu, tiba-tiba suatu hari saya mendapat panggilan daripada satu nombor yang tak dikenali. Ajaibnya kuasa Allah, entah bagaimana atau apa yang telah terjadi, saya rupa-rupanya mendapat panggilan untuk hadir temuduga DPLI sedangkan sesi temuduga calon DPLI sudah lama dibuat dan harapan saya sendiri juga sudah lama berkubur.

Itulah kuasa Allah, namun saya tidak meletakkan apa-apa harapan kali ini kerana tidak mahu kecewa sekali lagi. Saya hadir ke temuduga, dengan sedikit sebanyak persiapan. Panel penemuduga hanya seorang sahaja dan saya adalah calon terakhir yang akan ditemuduga pada hari tersebut. Suasana temuduga juga sangat santai. Saya langsung tidak berdebar, hanya sekadar berkongsi pendapat dengan penemuduga.

Antara soalan-soalan yang ditanya panel:
1. Mahu bercakap English atau Arab? Sudah tentu, saya yang tidak fasih berbahasa Arab akan memilih English.
2. Kursus apa yang diambil waktu Ijazah dulu?
3. Apa kaitan ilmu kejuruteraan yang saya belajar dengan agama Islam?
4. Kenapa saya memilih untuk menjadi guru?
5. Sanggupkah jika di'posting' ke sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak yang mengambil masa berjam-jam lamanya untuk sampai?
6. Apakah yang saya faham tentang teori Charles Darwin?
7. Bagaimana mahu menyerapkan ilmu kejuruteraan yang dipelajari waktu Ijazah dulu kepada para pelajar.
8. Mengajar subjek apa di sekolah sekarang?

Ada juga calon sebelum saya yang perlu membuat micro-teaching. Tapi apabila giliran saya, saya tidak perlu mempersembahkan micro-teaching. Hanya bersembang santai saja. Mujurlah juga, kerana saya tidak menyediakan apa-apa BBM pada waktu tersebut. Alhamdulillah. Lega....

Balik daripada temuduga, harapan untuk terpilih sebagai calon bagi program ini ditanam jauh-jauh agar tidak terlalu mengharap. Takut untuk merasa kecewa. Biarlah Allah yang tentukan takdir hidup kali ini.

Namun, aturan Allah telah menetapkan bahawa saya akhirnya terpilih juga. Alhamdulillah.

8 September 2018 lalu, saya bersama 3 lagi kawan yang juga telah terpilih, hadir ke Unisza untuk mendaftarkan diri dan mendengar taklimat. Terasa sangat rindu pada zaman kampus dulu, sewaktu kami mengambil peluang ronda-ronda di kawasan kampus pada hari tersebut selepas selesai sesi pendaftaran. Pemandangan para pelajar yang berkumpul di kafe, pelajar yang berjalan kaki di susur kaki lima, pelajar yang berlindung dengan buku di tangan daripada panas matahari dsb.

Fasa seterusnya 14 September, saya dan kawan-kawan memulakan langkah untuk berjuang dalam program DPLI ini. Kami yang ditempatkan di kelas B berjumlah seramai 55 orang daripada keseluruhan 109 pelajar. Boleh dikatakan kebanyakan pelajar DPLI ini berusia dalam lingkungan umur 30-40 tahun. Semuanya memberikan kerjasama yang baik sepanjang 2 hari kelas berlangsung. Kelas kami dijalankan pada setiap Jumaat dan Sabtu. Agak melelahkan sebenarnya kerana kami terpaksa bekerja seperti biasa pada Ahad hingga Khamis. Selepas dua minggu berkuliah, respon badan kami yang agak keletihan membuatkan keempat-empat kami bergilir-gilir demam. Bagi saya sendiri yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak kecil yang perlu dididik, sesungguhnya keputusan menyambung pengajian dalam DPLI ini benar-benar menguji komitmen dan kesabaran saya. Moga Allah izinkan saya untuk bergraduasi Oktober 2019 nanti bersama-sama dengan semua sahabat-sahabat saya. Amin!

Para pensyarah juga sangat komited, bertenaga dan hebat mengendali kelas walaupun mereka jauh lebih berumur daripada kami. Banyak tips dan petua yang diperoleh daripada perkongsian pengalaman dan syarahan mereka. Insya-Allah saya pasti akan menggunakannya dalam sesi PdPc di sekolah nanti.

Keep fighting!
Lets finish this journey together.
Allahumma amin..

Follow by Email