Teman-temanku

Google+ Followers

Wednesday, January 2, 2013

RUNTUH (pt 1)

KARYA: Rosie Haslinda Nasir (Petikan dari ruangan Cerpen-Majalah Al Islam 1994)

***
Demi Allah, keluarkanlah jasadku daripada kesengsaraan ini. Tidak tertanggung deritanya.
     Tunak pandanganku merangkul tubuhnya.
     Tubuhnya?
     Siapa aku kalau bukan dia, yang terperosok kaku begitu? Dan siapa pula dia kalau bukan aku, yang menemaninya dalam seribu kegelapan dan kesenyapan? Dalam aku ada dia. Dalam dia ada aku. Rapat bersatu. Lantas, siapa aku sebenarnya? Hantu jelmaan? Bayang-bayang? Suara batinnya yang sedang menggelepar? Atau barangkali sehelai roh yang melolong-lolong, mencakar-cakar kesakitan dicengkam sakratul-maut?
     Bakal ahli kuburkah kita ini, Phea?
     Phea binti Abdullah namanya (namaku?). Aku memandang wajahnya yang kotor disaluti gumpalan darah, lumpur dan debu-debu simen. Dadanya sendat dihempap sebongkah konkrit. Lengan kirinya berdarah ditembusi cerucuk besi. Tentu azab. Phea. Terus mati hatiku menangis, selela-lelanya.
     Bangunlah Phea.
     Aku mendakapnya. Tetap dia tidak bergerak-gerak dengan matanya yang terkatup.
     Bangunlah, Phea. Engkau mesti hidup. Patut engkau sendiri yang berusaha merubah takdir yang telah terpateri. Bukankah itu janji-Nya?
***
     "Teruk!"
     Noreen membelek-belek gambar berwarna yang besar terpampang pada muka pertama akhbar hari itu - Isnin, 6 Disember 1993. Matanya yang beralis pendek itu mengecil. Entah sembunyi apa yang dicarinya.
     "Dunia ni dah nak kiamt agaknya." Dia membebel. "Sana runtuh. Sini runtuh."
     "Apa yang runtuh?"
     Noreen memandangku kehairanan. "Kau tak baca paper, ke?" Begitu dia memantulkan soalanku, selamba, sinis terasa. Aku terpanar.
     "Apa yang runtuh?"
     Tak. Tak.
     Daun pintu pangsapuri terkuak.
     Tak. Tak.
     Dijah melangkah masuk dengan wajahnya yang pucat (aku sendiri tertanya-tanya ke mana menghilang sekian kegirangan warna mekapnya yang tebal) dan matanya yang ralip.
     "Hai."
     Lemah benar sapaan itu. Mendatar.
     "Waalaikumussalam." Sengaja Noreen menekan suaranya. Aku tersenyum.
     "Baru balik?"
     "Hmm," gumamnya sambil memicit-micit dahi.
     "Kau bermalam di mana malam tadi?"
     Dijah tidak menjawab, sebaliknya terus menguap.
     Tak. Tak.
     "Hei-hei, nak ke mana tu?" Kali ini Noreen benar-benar tidak dapat menyembunyikan kejengkelannya.
     "Bilik?"
     "Dengan kasut?"
     Gerak mata Dijah jatuh ke kaki. "Oh! Sorry," katanya lalu mencabut kasut tumit tinggi Bonia potongan klasik itu dengan malas. Dia menendangnya perlahan, terdorong terus ke tepi pintu. aku dan Noreen bertukar renung.
     "Dijah..."
     "Hmm." Dia melangkah lambat-lambat ke bilik sambil mengheret tas tangannya. "Apa?"
     "Nanti dulu, Dijah. Kami nak cakap sikit dengan kau."
     "Macam bunyi mak aku, je."
     "Dijah, sini!"
     Dan Dijah tidak pernah datang kepada kami, lenyap ditelan dentuman pintu yang menghentak ketenangan pagi. Noreen mengeluh.
     "Kau tengoklah kawan kita tu, Phea. Makin menjadi-jadi."
     "Dia keluar dengan siapa agaknya malam tadi?"
     Noreen beku seketika.
     "Asrin? Malim?" Aku menebak-nebak. "Azan? Johan?"
     "Johan," pancing Noreen. Mukanya tegang. "Johan yang kerja di pusat karaoke tu."
     Gadis berkulit hitam manis itu tunduk, cuba menyambung pembacaannya yang terbantut tiba-tiba tadi. Dia menggeleng. Aku sedar itu.
     "Runtuh, runtuh," rungutnya perlahan.
     "Apa yang runtuh?"
     "Runtuh akhlak."
     "Jangan main-main, Noreen."
     "Kau tak percaya?" Noreen mengerling ke arah pintu bilik tidur Dijah. "Dalam keruntuhan, depan mata kita sendiri. Kau nak biarkan?"
     "Aku tak nak masuk campur."
     "Hah!" tempelak Noreen seraya menegakkan tubuhnya. "Itulah silapnya orang kita. Bangsa kita. Kalau si anu kaya-raya, senang-lenang, ramailah yang berebut-rebut datang bertanya khabar. Tapi, kalau si anu terjunam, terlingkup, kehancuran, semua orang cuci tangan! Tak ke sedih?"
     "Aku?" Tanyaku bodoh. Berpinar-pinar menahan pukulannya.
     "Enau dalam belukar, lepaskan pucuk masing-masing!"
     "Kau marah?"
     "Kesal."
     Noreen menggeleng panjang sewaktuu kembali menatap berita yang belum habis dibacanya itu. Mungkin kesal dengan sesat amarahnya yang membentur kesejahteraan waktu. Mungkin juga tidak. Aku masih terkial-kial, cuba mengembalikan rona wajahku yang merah padam seperti sediakala.
      "Sepuluh kilang sederet dua tingkat yang sedang dibina di tapak projek Taman Industri Ringan Pasung Perdana, runtuh pagi tadi. Seorang buruh rakyat Indonesia mati, dan seorang lagi cedera parah. " Noreen membacanya kuat dan jelas. "Kejadian bangunan runtuh kedua dalam tempoh hampir dua bulan. dan kejadian keenam dalam tempoh dua tahun yang lalu."
     Terperanjat besar aku mendengar kenyataan aku itu. Alangkah tenat dan kritikal struktur bangunan di negara ini; aku membuat kesimpulan.
     "Sebelum ni, bangunan Kampus Induk Kolej Desa Utama, Desa Utama Tamansara runtuh. Kau tau berapa orang yang mati?"
     Aku mengangkat bahu.
     "Enam terkorban, rakyat Indonesia. Tiga belas cedera."
     "Mana kau tau semua ni?"
     "Baca paper Phea, baca paper," jawabnya pantas, mirip sebuah leteran. Pentadbir sebuah syarikat kejuruteraan itu mencampakkan surat khabar ke pangkuanku. "Nah! baca."
     "Noreen."
     Dia kematian langkah sulungnya, menoleh kepadaku.
     "Kau sedar tak kita tinggal di tingkat berapa?"
     "Tujuh?" Dahinya berkerut.
     "Kau dapat bayangkan tak keadaan kita kalau pangsapuri ni runtuh?"
     Noreen tidak menjawab. Kulihat kegerunan paling implisit bergayutan di sepanjang langkahnya yang lemah dan perlahan.
Gambar hiasan.

***
~~to be continued..~

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

Follow by Email