Teman-temanku

Google+ Followers

Sunday, March 27, 2011

Dipetik dari blog Nik Abduh

KELANTAN DAN MAKSIAT


Salam Palestin,

Jika mereka bertanya saya, apakah yang paling manis sepanjang 8 tahun saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)? Saya akan menjawab, bersama menikmati usaha-usaha ke arah memantapkan perlaksanaan Islam di perbandaran Kota Bharu bersama para ahli majlis dan pegawai kerajaan di peringkat atasan dan bawahan yang begitu ikhlas, konsisten dan tanpa menghiraukan penat dan lelah.

Jika pula mereka bertanya saya, apakah yang paling pahit dan mengecewakan pula? Saya akan menjawab, ketika bungkam dan hilang kata-kata memerhati kerenah segelintir ahli majlis dan pegawai kerajaan juga, atas dan bawah yang begitu lunak cakapannya, lebat hujahnya dan bersimpang siur liatnya untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar!

Paling manis, bila saya turut menyumbang buah fikir dan turut menyertai perlaksanaan program dan projek yang baik dan berguna untuk warga MPKB dan rakyat Kelantan umumnya. Paling pahit, bila keengganan itu berlaku di depan saya dan saya mendapati diri saya kalah dan akur. Di tahun-tahun terakhir, ia begitu mendorong dan menekan saya untuk melepaskan jawatan lebih awal. Itu pastinya salah, tetapi itulah yang saya alami dan cuba memeranginya.

Akhirnya, tercipta juga satu sebab yang membolehkan saya
mengundur diri secara berhemat dan tanpa ditegur lagi. Saya masih mengharapkan daripadaNya agar tindakan saya itu tepat untuk saya dan agama saya.

Menyeru ke arah perlaksanaan syariat Islam yang syumul adalah perjuangan yang benar dan tiada yang benar selainnya di dunia ini. Melaksanakan tuntutan syariat yang dikandung kalimat mulia ‘amar makruf nahi mungkar’ juga adalah perjuangan yang benar dan kesukarannya sebenarnya bertambah-tambah pula.

Kala itu, yang berjaya adalah yang ikhlas hatinya, betul jalannya dan bersungguh kerjanya. Perjuangan Islam selalu songsang, tak menjadi rentak dan tarinya buat mereka yang terpasung kotak fikirnya daripada akidah yang benar, terpalit hatinya dengan lumpur duniawi dan tersadung kakinya daripada jalan yang lurus. Jika mereka sejahtera di situ, mereka masih tersisih sehinggalah mereka memacu dan memecut bersama para pejuang lain yang sentiasa segar dan istiqamah berlumba-lumba dan pintas-memintas menuju ridha Allah.

Islam adalah al Quran. al Quran adalah petunjuk dan nasihat. Jika ia tiada berkesan dan sememangnya sebahagian manusia keras dan buta hatinya daripada mendengar al Quran, maka al Quran memerlukan kuasa dan tongkat untuk menyuruh dan menghalang manusia. Apa-apa yang gagal dicabut dengan nasihat akan dicabut dengan kuasa.

Semasa baginda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di Kota Mekah selama 13 tahun memimpin dakwah dengan al Quran di tangannya, baginda mampu menarik sekitar 300 orang warga Mekah mendengar nasihat dan wasiat al Quran. Kemudian apabila baginda kembali memasuki Mekah 10 tahun kemudiannya, dengan al Quran di tangannya dan pedang juga di tangannya, baginda dengan tempoh yang terlalu segera telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat kota Mekah dan sekitarnya untuk mendengar nasihat dan wasiat al Quran.

Pedang itu bukan buat memenggal leher seganasnya dan sejarahnya, tetapi cukuplah ia berisyarat, akulah teman setia al Quran. Demi tuhan, al Quran dan kuasa adalah bersaudara lagaknya. Bukankah kalam suci dan kuasa itu milik dan sifat Allah?

Justeru perjuangan membalut, menyeri dan menabal al Quran dengan tampuk kuasa adalah kerja nabi dan kerja perjuangan suci sepanjang zaman. Selagi Allah kekal hidup menjaga al Quran, selagi itulah al Quran ditawafi para pejuangnya yang kekal berjuang dan terbang syahid!

Janganlah Islam ini dikerjakan oleh mereka yang meletakkan kuasa di parlimen dan menyimpan al Quran di dalam almari, mengasingkannya daripada kehidupan sementara menunggu kehadiran majlis perarakan maulidur rasul.

Justeru ia perjuangan.

Kemudian, sesudah anda memiliki kuasa, maka mengurus kuasa adalah perjuangan juga. Ia fasa selepas fasa.

Zahirnya, kuasa pertama adalah apabila anda memiliki isteri, kemudian anak-anak. Jika mereka lari daripada nasihat al quran, anda masih memiliki kuasa. Dengan kuasa, anda mampu mengembalikan mereka ke jalan Allah. Itulah sesempurna Tindakan dalam mengurus kuasa.

Kemudian kehidupan melebar dan menjadi semakin melebar. Jika anda masih kekal berjuang memburu kuasa di Putra Jaya demi kecintaan mencantumkan al Quran dengan kuasa, maka anda telah pun memiliki selaras kuasa di Kelantan. Kecil tetapi besar. Sempit tetapi luas.

Marilah berdansa bersama kuasa dan al Quran. Kata al Quran, ajaklah rakyat Kelantan mendirikan solat lima waktu dan sembahlah Allah di rumah, di kedai, di kampung dan di bandar. Kemudian, carilah rezeki yang halal, tunaikanlah zakat dan bantulah orang-orang miskin dan lemah. Buatlah kebajikan, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan kemaksiatan.

Caranya? Nasihatlah dengan al Quran dan gunakan kuasa yang Allah kurniakan. Caranya? RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebaik-baik ikutan. Hasilnya? Akan bertambah ramailah umat Muhammad terarah dan berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Hasilnya? Akan kecewalah musuh-musuh tuhan daripada kalangan jin dan manusia. Itulah buah-buah manis tuaian perjuangan.

MPKB-BRI dengan kuasa sebuah kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri Kelantan telah melakukannya. Anda tidak akan mendapati perniagaan dan aktiviti terlarang agama di premis yang berdaftar dan diluluskan. Bahkan, wujud peraturan-peraturan kecil dan garis panduan yang berusaha menyekat sesuatu aktiviti yang secara mudah mendorong kepada keburukan dan haram.

Anda akan melihat kesungguhan MPKB-BRI memasuki medan kemasyarakatan demi menganjurkan kebajikan dan tolong-menolong yang memberi manfaat. Bahkan, agensi-agensi kerajaan negeri yang lain turut berganding bahu melibatkan diri memeriahkan usaha-usaha kebajikan yang dianjurkan ugama.

20 tahun adalah potret masa yang memisahkan Kelantan dan Kota Bharu daripada negeri-negeri lain dan perbandarannya yang begitu jauh ketinggalan. Pencapaian ini, adakah anda mahu menafikannya?

Sebelum anda menunjuki saya pusat-pusat pelacuran dan gambar-gambar bogel pelacur Kelantan, mari saya perkenalkan anda dengan apa yang anda telah ketahui.

Adakah bandar Madinah di zaman al Rasul bebas maksiat? Tidakkan? Bagaimana dunia ini bebas maksiat sedangkan dosa itu sentiasa melekat di badan, apatah di hati. Bukankah keimanan kita adalah bahawa hanya al Rasul sahaja yang maksum dan bebas dosa dengan izin tuhannya?

Bukankah nabi pernah melaksanakan hudud yang membawa erti telah berlaku maksiat zina di Madinah? Bukankah nabi pernah menyebut kepinginnya untuk membakar rumah-rumah yang kaum lelakinya tidak keluar untuk solat berjamaah bersama baginda yang bererti seruannya diingkari juga di Madinah? Bukankah nabi pernah mencela peniaga di pasarnya yang menipu dalam perniagaan?

Jika begitu, terlaksanakah atau berjayakah amar makruf dan nahi mungkar di Kota Madinah? Jangan berkata tidak! Sesungguhnya nabi dan zamannya adalah kemilau kehidupan yang memancar-mancar sebagai panduan sepanjang zaman.

Amar makruf bererti kebebasan melaksanakan kebaikan dan kemanfaatan yang disepakati bersama. Nahi mungkar bererti mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan dibenarkan. Kemungkaran mestilah dihimpit dan ditolak keluar sehingga ia tidak mengganggu masyarakat dengan kebusukannya.

Jika anda terpaksa menyamar dan bersusah payah menyelongkar, itu tandanya kemaksiatan telah terpinggir dan hidup ketakutan sehingga menyepi di ruang gelap.

Di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain maksiat adalah halal dan haram. Terang dan cerah. Terbuka dan tertutup. senyap dan bising. Anda boleh memilih. Selera nafsu serakah adalah berbeza. Neraka seleranya berbeza juga.

Di Kota Bharu, tugas mengharamkan sarang dan pusat yang mudah mendorong aktiviti maksiat dan haram berjaya dilaksanakan pada kadar yang hampir sempurna. Lihatlah, betapa sukarnya menyimpulkan samada aktiviti karaoke, biliard, snoker, alatan syisya, tinju siam dan seumpamanya perlu dibuka atau disempitkan laluannya. Semuanya kerana kebimbangan dan wujud bukti penyalah gunaan yang membawa kepada aktiviti haram dan merosakkan.

Jika begitu, lebih-lebih lagilah pembanterasan terhadap aktiviti halal dan terbuka pelacuran, judi, arak dan sebagainya.

Tinggal lagi, bagaimana dengan aktiviti maksiat yang tidak berdaftar dan berlaku secara sembunyi dan haram di sisi undang-undang?

Anda usahlah berbangga kerana berjaya membuktikan Kelantan tidak bebas dan bersih maksiat selepas 20 tahun memerintah dengan nama Islam dengan mendedahkan pusat-pusat maksiat yang yang tak pernah pun diberi lesen itu.

PAS tak pernah pun menafikan kesungguhan kerajaan pusat memburu dadah, arak, judi dan pelacuran haram. Itu nahi mungkar yang disokong.

Apa yang PAS canggah adalah bagaimana kerajaan pusat boleh meluluskan pusat dan aktiviti yang mendorong maksiat dan kejahatan secara terbuka dan halal pula?

Mengapa kuasa dimandulkan? Tidakkah kuasa itu hak dan milik Allah yang dikurniakan kepada manusia untuk membantu al Quran di dalam kekuasaannya ke atas manusia agar mereka selamat dan sejahtera?

Jadi, jika kerajaan pusat yang memiliki kekuatan 100 kali ganda kuasa berbanding kerajaan Kelantan pun tak mampu mengisytiharkan kejayaan membanteras pelbagai aktiviti haram tersebut, maka bayangkanlah kesukaran kerajaan Kelantan juga.

Fahami ini jika anda seorang yang berakal, insaf dan takutkan murka Allah.

Sesudah anda memahami ini, ketahuilah kekuatan dan kuasa sebenar adalah pada diri sendiri. Kita menyebutnya sebagai sumber manusia. Atau modal insan. Dalam menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran, keberkesanan terlalu bergantung kepada iman di dada dan dorongannya yang kuat untuk melaksanakan tugas dan amanah Allah ke atas hambaNya.

Jika saya dibenar bercakap lantang, saya akan lahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan di MPKB yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan misi kerajaan negeri untuk membangun bersama Islam.

Tetapi demi keadilan dan keinsafan, saya terkadang menjadi kecewa dan muak dengan segelintir warganya, ahli majlis dan pegawai MPKB yang tidak pun membantu kemeriahan berkerja, bahkan mengusutkan dan melambatkan kerja-kerja benar dan disukai Allah.

Paling menyayatkan, mereka berhujah semacam mereka ini pakar di dalam siasah syar’eiyah pula. Semoga Allah menemukan kita dengan penyelesaian.

Kawan saya, seorang doktor pulang dari ibadah haji beberapa bulan lepas. Bukan buah tamar dan kismis, tetapi sebuah buku dalam teks Arab telah dihadiahkan kepada saya tulisan seorang ulama terkenal, Doktor Salman al Audah bertajuk ‘Terima Kasih Wahai Musuhku’.

Isinya tentu menarik. Saya masih belum membacanya kerana dalam telaah beberapa kitab lain.

Terima kasih sahabatku. Terima kasih juga wahai musuhku. Tak kiralah syeikh-syeikh Firaun yang telah tumbang di Mesir itu atau syeh-syeh Quraish yang sedia menanti tumbang diterjang sunnah Allah ke atas penjarah di muka bumi ini.

2 comments:

  1. AKU HAMID
    Terima kasih kepada Ustaz Nik Abdul kerana memberanikan diri menulis pengalaman beliau menjadi Ahli Majlis MPKB-BRI selama 8 tahun. Saya sempat bersamanya di tempoh-tempoh akhir selaku ahli Majlis. MPKB.

    Saya juga sempat bersama-nya di dalam beberapa Jawatankuasa Kecil di peringkat MPKB dan sempat juga menjadi ahli usrah yang beliau pimpin. Walaupun sambutan kurang menggalakkan, tetapi Ustaz Nik Abduh masih berdegil mengadakan usrah setiap bulan.

    Selepas beliau mengundurkan diri selaku ahli majlis MPKB, saya sudah tidak berkesempatan menghadiri Usrah yang dikhaskan untuk ahli Majlis dan pegawai atasan itu kerana, usrah dah tak jalan kerana dah tak laku. Terima kasih di atas Kedegilan Nik Abduh, Walaupun usrah tidak ada dalam Perintah Tetap MPKB. Ini bukan salah MPKB, tetapi manusia di MPKB.

    Melalui program keilmuan seperti itu mendorong kami bekerja dengan bersungguh-sungguh agar dasar Kerajaan negeri sejak 20 tahun dulu MEMBANGUN BERSAMA ISLAM boleh dan mampu dilaksanakan di semua peringkat.

    Kami sedar bahawa perjudian dan pelacuran masih ada di Kota Bharu, sebab selagi masih ramai orang yang jahil dan jahat, selagi itulah maksiat ada. Tetapi harus di ingat oleh sesiapa sahaja yang matang, bahawa Kerajaan Negeri melalui MPKB tidak pernah mengeluarkan lesen premis dan lesen membenarkan menjalankan perniagaan di premis dalam kawasan pentadbiran MPKB kepada syarikat yang nak menjalankan perjudian, tetapi syarikat berkenaan telah mendapat lesen perniagaan judi, kerana kuasa memberi lesen judi terletak pada kuasa Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna mana-mana peniaga masih boleh menjual tiket 4D, Sport Toto atau apa-apa judi melalui kaedah tidak mendedah. Kalau peniaga nak jual secara sembunyi-sembunyi itu tidak menjadi kesalahan kepada Kerajaan Persekutuan. Sebab itu Polis tidak boleh bertindak, sebab judi yg diniagakan oleh peniaga itu halal di peringkat Persekutuan dan haram di peringkat Kerajaan Negeri atau PBT di Kelantan.

    Semoga kalian boleh memahami, kerana aku tidak mampu menulis dengan bahasa yang baik dan halus seninya serta tidak mampu menyusun kata-kata ego atau irihati.

    ReplyDelete
  2. http://politikislamsebenar.blogspot.com/2011/03/luahan-hati-mengapa-kami-meninggalkan.html jom pakat2 kelaur dari Parti Ajaran Sesat (PAS)atau Parti Anak Syaitan (PAS), Parti Anutan Sekular (PAS), Parti Anutan Syaitan (PAS), yang pemimpinnya gila kuasa sehinggakan menyorokkan kebenaran...baca la posting diatas kalo berani....

    ReplyDelete

There was an error in this gadget

Follow by Email