Bismillah..
Sudah sebulan lebih CL menjadi guru KAFA ganti. Alhamdulillah, what a new experience in my life..
Anak-anak Darjah 4 yang menjadi tanggungjawab CL ini benar-benar mencabar. Kenakalan dan keaktifan mereka di dalam kelas membuatkan CL kadang-kadang jadi speechless. Kepada anak-anak didik CL yang rajin menghadirkan diri ke kelas KAFA, terima kasih sangat-sangat Ustazah ucapkan sebab sudi datang menimba ilmu dengan CL yang ilmu tak seberapa ini.
Sebelum Ramadan (waktu CL baru start mengajar kelas KAFA); Hafiz, Shahirah, Badrul, Amira, Syamimi, Sofia, Syahdam, Diana, dan Ilya antara yang cukup rajin ke kelas. Walau hakikatnya kelas ini sepatutnya dihadiri oleh 29 orang pelajar, namun dengan beberapa kerat pelajar ini pun CL sudah amat bersyukur. Penglibatan mereka dalam aktiviti pembelajaran cukup terbaik. Sekurang-kurangnya, kesedaran mereka untuk mendalami ilmu agama itu sudah membuatkan CL happy.. Celoteh mereka tak usah dikira. Memang banyak 'cakap dan tanya' sampaikan CL kadang-kadang tak sempat nak melayan. Kerap jugak minta izin nak keluar kelas minum air di water-cooler dan ke tandas. Huhu.. Dan apa yang pasti, bila disuruh menyalin nota atau membuat latihan banyak sikit, mulalah riuh sekampung. Tapi bila bab waktu rehat tiba, belum sempat CL bagi keizinan dah..
"Ustazah, kelas lain dah rehat dah. Kenapa kita tak boleh rehat lagi?" polos jer mereka bertanya walaupun hakikatnya waktu rehat lagi 5 minit.
"Marka/Awek/Pakwe/Makwe"
Yep, jangan terkejut bila dikatakan anak-anak suci ini dah kenal perkataan ini semua. Siap bermesej lagi dengan 'pakwe/makwe' mereka tu. Buktinya, depa tunjuk sendiri mesej di handphone tu kat CL. Siap beristilah 'sayang-sayang' lagi. Allahurabbi, terkedu dibuatnya. Mana la diorang belajar semua ni?
Ada satu insiden pula berlaku di waktu rehat. Waktu tu CL tengah update laporan pengajaran di meja guru. Semua murid dah keluar rehat. Seorang murid lelaki Darjah 3 berlari laju melalui kelas CL dan 'papp!' ditampalnya satu kertas di papan pintu kelas Djh.4.. Terkejut CL. Bila check tengok, rupanya sekeping kad yang dibuat dari kertas A4 yang dipotong kecik dan terlukis di atasnya dua orang manusia (laki dan pompuan) tengah berpegang tangan dalam pakaian pengantin bertuliskan "Perkahwinan Zul dan Sofia". Uhuk! Kecik-kecik dah pandai tu.. CL cabut kad yang masih basah dengan gam 50sen tu dari pintu. Tak lama kemudian, murid lelaki tadi muncul kembali, nak check kad tu agaknya.
"Awak, mari sini kejap!" CL menguit dari jauh.
"Ye, ustazah?" tanya anak tadi polos sambil mendekat ke arah CL yang menunggu di muka pintu kelas.
"Awak ni Djh.3 kan? Kad apa ni? Awak nak kawen dengan Sofia ke?" CL menunjukkan kad yang ditampalnya tadi.
"Eh, bukan saya ustazah! Saya Amin.. Saya tolong Zul saja. Dia yang suka kat Sofia.." jawab anak tadi jujur.
"La...awak jadi posmen surat cinta pulak? Zul ni Darjah berapa orangnya? Kenapa dia suruh awak pulak?"
"Dia sekelas ngan saya, Djh 3. Dia malu, tu yang dia suruh saya.."
"Hm..gitu plak eh. Amin, lain kali jangan buat lagi ye. Kamu semua ni kecik lagi. Apa yang kamu buat ni salah, Allah tak suka. Allah suruh belajar dulu. Bila dah besar macam Ustazah baru pikir bab kawen-kawen ni.. Paham tak?" jelas CL panjang lebar sambil menggosok belakangnya.
"Ok ustazah." Terangguk-angguk anak itu sambil mula berlalu pergi. Faham ke tidak entah la.
Semasa Ramadan:
Jadual KAFA sedikit berubah. Kelas terpaksa dianjakkan ke pukul 1 petang. Kiranya, selepas habis waktu sekolah pagi, anak-anak ini akan meneruskan kelas KAFA. Hasilnya, ramai murid yang CL jarang atau tak pernah nampak sebelum ini memunculkan diri. Agak terkejut jugak CL nak mengawal satu kelas ni. Tahap keaktifan dan kenakalan anak-anak dalam kelas ini boleh diibaratkan seperti meningkat lebih 3 kali ganda gitu. Yang hairannya, CL tengok mereka agak mendengar kata sewaktu sesi sekolah pagi. Tidak bising seperti di kelas KAFA. Bunyi saja loceng tamat sesi sekolah, berdengung bunyi suara mereka semua. Ada juga yang cuba lari dari hadir ke kelas KAFA walaupun sudah diberitahu oleh pihak sekolah. Tak terkepung CL dibuatnya. Sabar je la..
Hasil 2 minggu mengajar KAFA dengan kehadiran murid melebihi 20 orang ini, suara CL hilang terus. Siap demam lagi sebab sakit kerongkong. Haha.. Memang tak tahan betul. Jeritan dan suara tinggi CL (rasanya dah guna suara yang paling kuat yang CL ada) dalam kelas senang saja ditenggelami dengan pekik suara anak-anak ini. Belum lagi dicampur dengan keletah mereka yang bertekak, mengusik, berlari, melompat, bermain batu seremban di dalam kelas. Aduhai, apa yang CL ajar di depan, hanya beberapa kerat saja yang fokus. Yang lainnya, sibuk dengan dunia masing-masing. Puas dilarang, dipujuk, sebentar saja kesannya.
Kreatif, Inovatif, Kritis! Semua idea yang CL ada digunakan untuk menarik perhatian mereka untuk fokus dengan pembelajaran dalam kelas. Tayangan video, kuiz pop, ujian, persembahan lakonan, melukis, hadiah, dan bulatan kecil antara aktiviti yang CL adakan. Ada yang menjadi, ada yang tidak.
Insiden Merajuk: Ada satu insiden, CL betul-betul naik angin. Cuba bersabar dengan kerenah mereka, tapi gagal. Bersambung....
Lensa Che Long: Nak jadi pendidik ni, hati kena ikhlas dan sabar tinggi. Tak ada sabar, susah nak mewujudkan keikhlasan di hati guru. Tak ada ikhlas, ilmu yang diajar tak melekat di hati pelajar.
Comments
Post a Comment