Skip to main content

Cedok Air Guna Raga..

Ada satu kisah yang cukup popular. Che Long pernah dengar kisah ini dari seorang murabbi yang amat dihormati. Kisah tentang seorang anak murid dan guru mengaji al-Quran yang zuhud.

*****

Arakian bermula di sebuah kampung. Seorang anak murid yang sedang belajar mengaji al-Quran dengan seorang guru di kampungnya telah datang berjumpa gurunya pada suatu petang. "Apa guna saya mengaji kalau saya tidak tahu makna al-Quran, Tok?" Tanya murid tersebut dengan sedikit nada tidak puas hati.

     "Bacalah dahulu perlahan-lahan, nanti Tok akan ajarkan maknanya kemudian," jawab gurunya dengan baik.

     "Tapi Tok, saya rasa jemu dan tak berfaedah kalau saya belajar tanpa faham maknanya," jawab si murid.

     "Baiklah, hari ini kita berhenti sekejap belajar mengaji dan Tok akan ajar sesuatu yang mungkin berguna buat kamu.," kata Tok guru. Sang murid kembali ceria mendengar jawapan gurunya.

     Tok guru lalu menyerahkan kepada muridnya sebuah raga rotan yang diambil di belakang rumahnya dan berkata, "Pergilah kamu cedok air di sungai dan penuhkan kolah madrasah kita ini."

     Si murid lantas kehairanan namun beranggapan bahawa ajaran gurunya kali ini agak menarik dan mengharapkan sesuatu yang luar biasa akan berlaku. Dia terus ke sungai dan mencedok air dengan menggunakan raga tersebut dan tergesa-gesa berlari untuk menuangkan air ke kolah madrasah. Malangnya, setiap kali dia sampai di kolah, air di dalam raga telah habis kerana menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu. Berulang kali dilakukannya namun air tetap menitis keluar dan kolah tidak dapat dipenuhi.

     "Tok, saya rasa perbuatan ini tiada gunanya. Lebih baik Tok berikan timba kepada saya, tentu lebih bermakna dan lebih cepat air kolah dapat dipenuhkan!"

     Tok guru tersenyum sambil berkata perlahan, "Setiap yang Tok suruh pasti ada maknanya."

    "Apa maknanya Tok?" 

    "Menimba air dengan raga samalah dengan mengaji Al-Quran tanpa mengetahui maknanya," jawab gurunya.

    "Tidak ada faedah kedua-duanya? Itukah maksud Tok?" pintas si murid.

     "Kedua-duanya berfaedah," jawab Tok guru tenang. Si murid bertambah hairan.

     "Cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi itu. Mulanya ia kering dan kotor. Tapi sekarang bukankah sudah basah dan bersih disebabkan kamu berulang-ulang mencelupkannya di dalam air? Walaupun kolah tidak penuh tetapi raga itu menjadi lebih bersih. Betul tak?"
    
     "Betul tu Tok," jawab sang murid mengiakan sambil tersengih lebar.

     "Ha, begitulah juga hati kamu ketika berulang-ulang kali membaca al-Quran. Walaupun kamu masih belum faham maknanya tetapi sekurang-kurangnya hati kamu sedang dibersihkan daripada kealpaan dan godaan syaitan laknatullah."

     Muridnya mengangguk faham. Sedarlah dirinya kini akan kehebatan gurunya yang bukan setakat mengajar tetapi juga mendidik. Sang murid akhirnya belajar bersungguh-sungguh mengaji al-Quran dengan gurunya setelah menyedari bahawa tidak ada kebaikan yang sia-sia dan tidak berguna.

******
Lensa Che Long: Selagi ilmu yang baik diajar kepada murid yang berterusan mengamalkannya, saham pahala juga turut dapat dikongsi bersama kita. Alangkah hebatnya jasa seorang guru.
Ingat, jangan lupa bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan ada faedah dan berguna untuk diri kita sendiri juga.



Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman DPLI UNISZA 2018

Hulamak hui.. Lamanya tak blogging. Rindu betul nak menulis dan meluah di sini. Sejak kahwin 2014 dulu, kemudian dianugerahkan anak seorang, 2018 inilah  tulisan yang terbaru. Biasanya asyik update FB atau IG je. Blog ni pun dah 'bersawang' molek dah ha.. Rasa nak menulis balik ni pun, sebab termotivasi selepas 2 hari lepas berderet kelas tanpa henti. Terinspirasi dengan cerita-cerita motivasi daripada para pensyarah. Alhamdulillah, keputusan sambung belajar DPLI di Unisza ni moga-moga Allah permudahkan segala urusannya dan membuahkan yang terbaik untuk masa hadapan, amin.. Masa mula-mula dapat tahu tentang permohonan DPLI dibuka kepada umum, saya memang teruja bukan main lagi. Sebab dah bertahun-tahun lamanya saya survey tentang program ni. Sejak selepas bergraduasi pada tahun 2011 lagi, saya cuba untuk memohon program KPLI dan DPLI ini malangnya tidak dibuka program tersebut di mana-mana IPT. Pada awalnya, saya teringin untuk memohon program DPLI UM, tapi apabila memi...

Kebaikan Batu Tawas dan Hibka Powder

Bosan dengan baju kat bahagian armpit (nama manja ketiak ) jadi kuning dan keras disebabkan pemakaian deoderant? Stress sebab armpit jadi hitam berdaki?  Nak kembalikan warna natural armpit? Nak hilangkan bau teng*k armpit disebabkan peluh? Ha, lemme tell you da solution of this problemo yar.. 1. Hibka Powder Dah lama dah bedak ni wujud sebenarnya cuma orang zaman sekarang tak berapa nak kenal. Pakai kat mana? Kat armpit lor.. Tekstur bedak ni kasar sikit. Dia ada dua jenis. Warna putih dan kuning. Dia ada dalam bentuk paket ataupun botol. So, boleh pilih ikut suka yang mana berkenan. Jika CL suka beli yang warna putih dan dalam botol. Senang, takde la tumpah2. Bagus sangat produk ni. Walaupun dia jauh lebih murah daripada produk2 komersial deoderant yang ada tu, efeknya jauh lebih bagus. Harga yang dalam paket dalam RM1 - RM2 je. Kalau dalam botol pulak dalam RM3++ je. Nak beli kat mana? Beli je kat kedai-kedai jamu. Kalau kat Kangar ni ada satu kedai kat belak...

Pengalaman Cabut Gigi Bongsu (Pt 2)

Bersambung dari kisah cabut gigi bongsu yg dulu tu... atoiiii.. syakitnyer.... CL balik kluster konon nak sambung buat kerja. Tak sampai 15 minit duk depan beloved lappy, tetiba kepala bahagian kanan terasa berdenyut. Nyut, nyut, nyut, nyut... Sakit bukan main lagi.  Efek ubat kebas dah mula hilang.  Efek belahan pisau tajam si dentist mula menunjukkan belangnya.  Tenaga semakin susut.  Darah makin banyak. Nak telan geli, tapi bila kumur makin banyak darah keluar.  Berjejeran air liur di atas bibir bawah yang masih kebas.  CL memang dah tak tahan. Hampar toto dalam kubikal dan baring.  Ke kiri sakit, ke kanan sakit, menelentang sakit apatah lagi meniarap.  Duduk sakit, berdiri sakit, bertinggung sakit, berjalan pun sakit.  Betul-betul tak tahu nak buat apa dah.  Telan painkiller pun dah tak ada kesan. Nak menangis tak keluar air mata.  Nak mengerang tak keluar suara.  Sentuh pipi sendiri pun...