Skip to main content

RUNTUH (pt 1)

KARYA: Rosie Haslinda Nasir (Petikan dari ruangan Cerpen-Majalah Al Islam 1994)

***
Demi Allah, keluarkanlah jasadku daripada kesengsaraan ini. Tidak tertanggung deritanya.
     Tunak pandanganku merangkul tubuhnya.
     Tubuhnya?
     Siapa aku kalau bukan dia, yang terperosok kaku begitu? Dan siapa pula dia kalau bukan aku, yang menemaninya dalam seribu kegelapan dan kesenyapan? Dalam aku ada dia. Dalam dia ada aku. Rapat bersatu. Lantas, siapa aku sebenarnya? Hantu jelmaan? Bayang-bayang? Suara batinnya yang sedang menggelepar? Atau barangkali sehelai roh yang melolong-lolong, mencakar-cakar kesakitan dicengkam sakratul-maut?
     Bakal ahli kuburkah kita ini, Phea?
     Phea binti Abdullah namanya (namaku?). Aku memandang wajahnya yang kotor disaluti gumpalan darah, lumpur dan debu-debu simen. Dadanya sendat dihempap sebongkah konkrit. Lengan kirinya berdarah ditembusi cerucuk besi. Tentu azab. Phea. Terus mati hatiku menangis, selela-lelanya.
     Bangunlah Phea.
     Aku mendakapnya. Tetap dia tidak bergerak-gerak dengan matanya yang terkatup.
     Bangunlah, Phea. Engkau mesti hidup. Patut engkau sendiri yang berusaha merubah takdir yang telah terpateri. Bukankah itu janji-Nya?
***
     "Teruk!"
     Noreen membelek-belek gambar berwarna yang besar terpampang pada muka pertama akhbar hari itu - Isnin, 6 Disember 1993. Matanya yang beralis pendek itu mengecil. Entah sembunyi apa yang dicarinya.
     "Dunia ni dah nak kiamt agaknya." Dia membebel. "Sana runtuh. Sini runtuh."
     "Apa yang runtuh?"
     Noreen memandangku kehairanan. "Kau tak baca paper, ke?" Begitu dia memantulkan soalanku, selamba, sinis terasa. Aku terpanar.
     "Apa yang runtuh?"
     Tak. Tak.
     Daun pintu pangsapuri terkuak.
     Tak. Tak.
     Dijah melangkah masuk dengan wajahnya yang pucat (aku sendiri tertanya-tanya ke mana menghilang sekian kegirangan warna mekapnya yang tebal) dan matanya yang ralip.
     "Hai."
     Lemah benar sapaan itu. Mendatar.
     "Waalaikumussalam." Sengaja Noreen menekan suaranya. Aku tersenyum.
     "Baru balik?"
     "Hmm," gumamnya sambil memicit-micit dahi.
     "Kau bermalam di mana malam tadi?"
     Dijah tidak menjawab, sebaliknya terus menguap.
     Tak. Tak.
     "Hei-hei, nak ke mana tu?" Kali ini Noreen benar-benar tidak dapat menyembunyikan kejengkelannya.
     "Bilik?"
     "Dengan kasut?"
     Gerak mata Dijah jatuh ke kaki. "Oh! Sorry," katanya lalu mencabut kasut tumit tinggi Bonia potongan klasik itu dengan malas. Dia menendangnya perlahan, terdorong terus ke tepi pintu. aku dan Noreen bertukar renung.
     "Dijah..."
     "Hmm." Dia melangkah lambat-lambat ke bilik sambil mengheret tas tangannya. "Apa?"
     "Nanti dulu, Dijah. Kami nak cakap sikit dengan kau."
     "Macam bunyi mak aku, je."
     "Dijah, sini!"
     Dan Dijah tidak pernah datang kepada kami, lenyap ditelan dentuman pintu yang menghentak ketenangan pagi. Noreen mengeluh.
     "Kau tengoklah kawan kita tu, Phea. Makin menjadi-jadi."
     "Dia keluar dengan siapa agaknya malam tadi?"
     Noreen beku seketika.
     "Asrin? Malim?" Aku menebak-nebak. "Azan? Johan?"
     "Johan," pancing Noreen. Mukanya tegang. "Johan yang kerja di pusat karaoke tu."
     Gadis berkulit hitam manis itu tunduk, cuba menyambung pembacaannya yang terbantut tiba-tiba tadi. Dia menggeleng. Aku sedar itu.
     "Runtuh, runtuh," rungutnya perlahan.
     "Apa yang runtuh?"
     "Runtuh akhlak."
     "Jangan main-main, Noreen."
     "Kau tak percaya?" Noreen mengerling ke arah pintu bilik tidur Dijah. "Dalam keruntuhan, depan mata kita sendiri. Kau nak biarkan?"
     "Aku tak nak masuk campur."
     "Hah!" tempelak Noreen seraya menegakkan tubuhnya. "Itulah silapnya orang kita. Bangsa kita. Kalau si anu kaya-raya, senang-lenang, ramailah yang berebut-rebut datang bertanya khabar. Tapi, kalau si anu terjunam, terlingkup, kehancuran, semua orang cuci tangan! Tak ke sedih?"
     "Aku?" Tanyaku bodoh. Berpinar-pinar menahan pukulannya.
     "Enau dalam belukar, lepaskan pucuk masing-masing!"
     "Kau marah?"
     "Kesal."
     Noreen menggeleng panjang sewaktuu kembali menatap berita yang belum habis dibacanya itu. Mungkin kesal dengan sesat amarahnya yang membentur kesejahteraan waktu. Mungkin juga tidak. Aku masih terkial-kial, cuba mengembalikan rona wajahku yang merah padam seperti sediakala.
      "Sepuluh kilang sederet dua tingkat yang sedang dibina di tapak projek Taman Industri Ringan Pasung Perdana, runtuh pagi tadi. Seorang buruh rakyat Indonesia mati, dan seorang lagi cedera parah. " Noreen membacanya kuat dan jelas. "Kejadian bangunan runtuh kedua dalam tempoh hampir dua bulan. dan kejadian keenam dalam tempoh dua tahun yang lalu."
     Terperanjat besar aku mendengar kenyataan aku itu. Alangkah tenat dan kritikal struktur bangunan di negara ini; aku membuat kesimpulan.
     "Sebelum ni, bangunan Kampus Induk Kolej Desa Utama, Desa Utama Tamansara runtuh. Kau tau berapa orang yang mati?"
     Aku mengangkat bahu.
     "Enam terkorban, rakyat Indonesia. Tiga belas cedera."
     "Mana kau tau semua ni?"
     "Baca paper Phea, baca paper," jawabnya pantas, mirip sebuah leteran. Pentadbir sebuah syarikat kejuruteraan itu mencampakkan surat khabar ke pangkuanku. "Nah! baca."
     "Noreen."
     Dia kematian langkah sulungnya, menoleh kepadaku.
     "Kau sedar tak kita tinggal di tingkat berapa?"
     "Tujuh?" Dahinya berkerut.
     "Kau dapat bayangkan tak keadaan kita kalau pangsapuri ni runtuh?"
     Noreen tidak menjawab. Kulihat kegerunan paling implisit bergayutan di sepanjang langkahnya yang lemah dan perlahan.
Gambar hiasan.

***
~~to be continued..~

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman DPLI UNISZA 2018

Hulamak hui.. Lamanya tak blogging. Rindu betul nak menulis dan meluah di sini. Sejak kahwin 2014 dulu, kemudian dianugerahkan anak seorang, 2018 inilah  tulisan yang terbaru. Biasanya asyik update FB atau IG je. Blog ni pun dah 'bersawang' molek dah ha.. Rasa nak menulis balik ni pun, sebab termotivasi selepas 2 hari lepas berderet kelas tanpa henti. Terinspirasi dengan cerita-cerita motivasi daripada para pensyarah. Alhamdulillah, keputusan sambung belajar DPLI di Unisza ni moga-moga Allah permudahkan segala urusannya dan membuahkan yang terbaik untuk masa hadapan, amin.. Masa mula-mula dapat tahu tentang permohonan DPLI dibuka kepada umum, saya memang teruja bukan main lagi. Sebab dah bertahun-tahun lamanya saya survey tentang program ni. Sejak selepas bergraduasi pada tahun 2011 lagi, saya cuba untuk memohon program KPLI dan DPLI ini malangnya tidak dibuka program tersebut di mana-mana IPT. Pada awalnya, saya teringin untuk memohon program DPLI UM, tapi apabila memi

Temuduga Guru KAFA

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah hampir setahun bergelar guru KAFA ganti/kontrak. Tahun 2013 CL mendapat tawaran sebagai guru KAFA ganti yang akan diperbaharui kontrak setiap dua bulan. Tahun 2014 ni pula, kontrak diperbaharui setiap tiga bulan. Ok la tu.. JUN-DISEMBER 2013 CL mengajar di sekolah kawasan kampung. Agak sedih berpisah dengan mereka sebenarnya. Anak-anak yang comel telatah mereka, walaupun kadang-kadang agak nakal. Apakan daya, keputusan bukanlah di tangan sendiri. MAC 2014 CL ditawarkan sekali lagi mengajar KAFA. Kali ni, di sekolah kawasan bandar dan kebetulan berdekatan dengan rumah sewa dan kluster tempat research. Suasana memang berbeza. Keletah anak-anak juga berbeza. Kemahiran yang diperlukan untuk mendidik anak-anak juga berbeda. Semuanya harus lebih moden, kreatif dan up-to-date. Cabaran sungguh! ::TEMUDUGA BERTULIS:: Sebelum start mengajar di sekolah tu, CL kena lalui satu temuduga bertulis. Masa yang diberikan untuk jawab satu paper tu sejam seteng

Kebaikan Batu Tawas dan Hibka Powder

Bosan dengan baju kat bahagian armpit (nama manja ketiak ) jadi kuning dan keras disebabkan pemakaian deoderant? Stress sebab armpit jadi hitam berdaki?  Nak kembalikan warna natural armpit? Nak hilangkan bau teng*k armpit disebabkan peluh? Ha, lemme tell you da solution of this problemo yar.. 1. Hibka Powder Dah lama dah bedak ni wujud sebenarnya cuma orang zaman sekarang tak berapa nak kenal. Pakai kat mana? Kat armpit lor.. Tekstur bedak ni kasar sikit. Dia ada dua jenis. Warna putih dan kuning. Dia ada dalam bentuk paket ataupun botol. So, boleh pilih ikut suka yang mana berkenan. Jika CL suka beli yang warna putih dan dalam botol. Senang, takde la tumpah2. Bagus sangat produk ni. Walaupun dia jauh lebih murah daripada produk2 komersial deoderant yang ada tu, efeknya jauh lebih bagus. Harga yang dalam paket dalam RM1 - RM2 je. Kalau dalam botol pulak dalam RM3++ je. Nak beli kat mana? Beli je kat kedai-kedai jamu. Kalau kat Kangar ni ada satu kedai kat belakang