Teringat kata-kata Umi CL suatu ketika dulu ketika kami adik-beradik merungut Umi dan Abah tak boleh memenuhi kemahuan materialistik kami walau sekadar sebuah alat mainan terkini, atau beberapa hari percutian keluarga, atau beberapa sampul duit raya, atau set persekolahan baru di setiap musim baru buka sekolah.
"Anak-anak ni gini la.. Dia ingat senang ke nak cari duit? Dia ingat buat duit tu macam cabut daun di pokok ke?"
Masa tu, selaku anak sulung CL cuba sedaya upaya untuk memahami kata-kata parents. Tapi CL hanya sekadar faham bahawa cari duit memang susah. Setahap mana susahnya CL tak dapat gambarkan. Ada juga terlintas soalan bodoh CL masa tu, 'Apa yang susahnya cari duit? Kerja je la.. Sesukar manapun kenalah usaha memenuhi keperluan anak-anak.. Tu kan memang tanggungjawab ibu-bapa?'
Alhamdulillah.. nasib baiklah juga tidak disuarakan secara lantang. Kalau tidak, tentu CL menyesal. Tentu CL telah menempah tiket NERAKA JAHANAM kerana menitiskan air mata ibu dan meremukkan hati seorang ayah. Alhamdulillah, soalan bodoh yg pernah terlintas di pemikiran CL suatu ketika dulu telah Allah beri jawapannya kini. Alhamdulillah..
Secara dasarnya, sudah lama CL sedari bahawa diri ini bukan dari keluarga yang berada. Tidak mampu berbelanja mewah seperti anak-anak muda lain. Walaupun kadang-kadang perasaan iri hati itu tetap ada melihat kemewahan dan kesenangan mereka. Alhamdulillah masih boleh dikawal supaya tidak menjadi virus yang memunah maruah diri.
###
Dua tiga hari ini, CL mendapat kerja part-time sebagai cleaner. Biasa tengok orang buat kerja cleaner saja sebelum ni. Sejak zaman degree hingga zaman Master-degree. Tak ada apa-apa perasaan pada golongan cleaner pun sebelum ni. Kasihan tidak. Rasa nak menolong pun tidak. Kosong saja. Hanya sekadar pemikiran seperti:-
'Dah nasib dan rezeki mereka begitu.'
'Dah memang tugas diorang kena bersihkan tempat ni.'
'Buat apa nak kemas, jap lagi cleaner tu akan bersihkan tempat ni.'
'Standard la tu.. semua orang ada kesusahan masing-masing.'
Boleh dikatakan nasib CL agak baik kerana mendapat tawaran biasiswa dari pihak IPT. Agak lumayan bagi seseorang yang tak pernah pegang duit sendiri lebih dari RM1000 setiap bulan. Tapi, pengurusan kewangan yang agak teruk (culture-shock agaknya) membuatkan CL menghadapi suatu ujian yang hebat. Duit biasiswa sudah habis tiada berbaki tika diuji Tuhan dengan beberapa masalah teknikal biasiswa. Tiada simpanan menyebabkan CL terpaksa usaha lebih keras lagi menambah senarai kerja part-time. Alhamdulillah, jalan tarbiyah dari-Nya adalah dgn menjadi seorang 'Tukang Cuci' selain dari menjadi guru tuisyen.
Sudah tiga hari bekerja selaku cleaner.
~Hari pertama: Clening service di sebuah premis homestay.
~Hari kedua: Cleaning service di sebuah premis pejabat.
~Hari ketiga: Cleaning service di sebuah rumah pelanggan dan premis homestay.
Hari pertama, badan masih boleh bersabar dengan tahap keletihan. Walaupun tempat yang dituju agak jauh hingga menyakitkan papan punggung yang terpaksa menahan engine-vibration dari motor buruk Suzuki FX110. Premis homestay dua tingkat habis disental dengan penuh kesungguhan demi meraih kepuasan hati bos.
Tapi namanya pun cleaner, sehabis manapun daya kita bekerja kita hanya sekadar dipandang seorang kuli yang dibayar. Setiap sudut diperiksa lagi demi mencari kecacatan yang perlu ditegur sinis tanpa penerangan yang jelas. Tanpa ucapan terima kasih dari bos dan salam sejahtera yang tak bersahut, CL pulang ke rumah dengan sengal-sengal memenuhi setiap sendi tulang. Tiada penerangan tentang bayaran lagi hari ni. Tarbiyah hari ini tentang sebuah kesabaran dan keikhlasan.
Hari kedua, mendapat arahan untuk ke sebuah premis pejabat untuk cleaning services. Bila motor cabuk dihidupkan, meter petrol merujuk ke 'E'. Allahuakbar, duit yang cukup-cukup untuk membeli sebungkus nasi tengah hari nanti terpaksa dikorbankan untuk pergerakan motor. Duit gaji tuisyen dah habis. Duit biasiswa pun dah habis. Totalnya hanya tinggal RM5 di tangan.
Bila sampai tempat yang dijanjikan, diuji pula dengan ketepatan masa. Setengah jam menunggu orang yang akan menunjukkan jalan terbiar begitu saja. Alangkah baiknya kalau 1/2 jam itu CL gunakan utk kerja dakwah. Tapi hanya jalan kosong peneman diri. Sekadar zikir dan selawat penghibur hati. Sedarlah CL akan sikap yang pernah memungkiri masa sebelum ini.
Bila sampai ke premis pejabat, kerja-kerja cleaning dilakukan seorang diri tanpa teman bual walaupun ada pelanggan di situ. Sedarlah CL akan sikap CL selama ni terhadap cleaner lain sebelum ini. Sedarlah CL akan nilai sebuah kemesraan dan keramahan tika keletihan diri di paras tertinggi. Kebisuan yang janggal benar-benar terasa membunuh jiwa. Alhamdulillah Tuhan bayar cash balasan untuk CL. Ampunkan anakmu ini Abah dan Umi kerana tidak memahami keletihanmu selama ini.
Siap kerja-kerja membersih, tip RM10 (tidak dikira sebagai gaji mingguan) dikeluarkan oleh pelanggan dari dompetnya untuk diri ini. Katanya 'buat minum-minum..' Kaku sebentar tika duit berpindah tangan. Hanya ucapan terima kasih mampu diucapkan. Sepanjang perjalanan pulang, rasa sayu tidak dapat ditahan. Basah mata dibanjiri air. Perut yang berkeroncong minta diisi. Alhamdulillah sekeping not RM10 ini bakal jadi penolong tengah hari itu bahkan masih ada bakinya. Terasa nikmat yang amat besar tika itu. Buat pertama kalinya rasa SYUKUR yang paling ikhlas pernah dipanjatkan buat Allah tika itu.
'Alhamdulillah aku bersyukur teramat sangat akan segala nikmat yang Engkau berikan..'-rasa syukur yang paling sayu dan syahdu pernah diucapkan oleh diri yang hina ini. Tak dapat nak gambarkan betapa hebatnya aturan Allah untuk diri ini.
Hari ketiga, sengal badan masih bersisa dikuatkan juga bila mendapat arahan ke rumah Pn.L untuk khidmat cuci di rumahnya. Besar rumahnya. Tugas hari ni cuma untuk mengelap cermin di jendela dan pintu rumahnya. Tapi kerja kenalah buat biar sempurna. Biar berkilat. Biar pelanggan puas hati, bos pun puas hati.
Kisah Saidatina Fatimah menjadi inspirasi tika keletihan dan penyakit darah rendah menyerang tiba-tiba semasa kerja dijalankan. Zikir "Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar" menjadi penguat semangat menyudahkan kerja yang bukan main lagi letihnya. Kini memahami lagi keletihan Umi sebagai surirumah yang terpaksa melayani kerenah anak-anak & mengurus rumah tangga supaya kemas sentiasa, dan juga kepenatannya mencari wang tambahan dengan menjahit. -Umi, I love u for everything...
Belum hilang kepenatan di rumah besar tu, arahan kedua pula untuk ke homestay. Cleaning service perlu diteruskan hingga cukup masa 5 jam. Tugasan yang diberi cuba dilaksanakan sesempurna mungkin Insya-Allah. Belajar juga tentang erti sebuah kejujuran dengan amanah yang diberi walau sesukar manapun situasi. Belajar juga untuk merendahkan diri. Belajar juga untuk mengawal sifat amarah. Belajar juga untuk membasahkan bibir ini dengan zikrullah dan kata-kata yang mahmudah. Belajar juga untuk lebih menghargai segala-galanya yg ada di sekeliling walau sebutir habuk.
###
Alhamdulillah inilah antara tarbiyah yang kudapati dari diariku seorang Tukang Cuci. Kalau ini caranya Allah ingin aku merapati-Nya, aku redha.. Yang penting, aku kini lebih menyayangi Umi dan Abah yang telah bersusah payah membesarkan kami sejak kami kecil. Walau sesukar manapun kami, kami masih bukan anak terbuang di tepi jalan.
Lensa Che Long: SAYA CINTA UMI & ABAH SAYA. ALHAMDULILLAH di atas segalanya. Terima kasih Rasulullah kerana menyampaikan keindahan Islam ini buat umatmu yang kini dilanda kerosakan sivik.
Belajar menghargai semuanya.. |
la tahzan~~innallaha ma'ana... |
Comments
Post a Comment