Adiputra Selamat
Saya adalah bekas pelajar di universiti awam dimana kos pengajian saya adalah melalui pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Setelah pendedahan demi pendedahan diutarakan dalam akhbar-akhbar milik Kerajaan Pusat, kini PTPTN merancang untuk memastikan para peminjam membayar balik pinjaman pengajian mereka melalui potongan gaji bermula pertengahan tahun 2011. Pada pandangan saya, ini boleh memberi bebanan kepada para peminjam khususnya yang baru tamat pengajian.
Pinjaman PTPTN kebiasaannya adalah pilihan terakhir setelah segala usaha untuk mendapatkanpinjaman/biasiswa pengajian daripada sumber lain seperti yayasan negeri dan lain-lain tidak berjaya. Ini adalah kerana umum mengetahui bahawa kos pentadbiran yang tinggi yang menjadi penyebab utama bebanan peminjam untuk membayar balik pinjaman tersebut. Kehidupan para pelajar selepas tamat pengajian masih tidak menentu kerana pasaran kerja yang amat terhad tidak seimbang dengan berpuluh ribu jumlah graduan yang baru tamat pengajian setiap tahun.
Dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum stabil, semestinya pasaran kerja menjadi lembap keranarata-rata majikan lebih mengutamakan pekerja yang berpengalaman sekurang-kurangnya dua tahun untuk diambil bekerja dan pengambilan pekerja adalah berdasarkan daripada sistem internalization iaitu pengambilan pekerja yang disyorkan oleh staf-staf dalaman sahaja. Ini mendorong kepada terhadnya peluang pekerjaan kepada graduan yang ramai di luar sana kerana tiada tawaran kerja diiklankan dalam akhbar atau internet. Oleh itu, kedapatan masih sangat ramai graduan kita yang masih belum bekerja atau bekerja secara sampingan di mana pendapatannya tidak menentu dan ini menjadikan bebanan untuk mereka membayar balik pinjaman PTPTN.
Dari soal pendapatan pula, rata-rata graduan Ijazah yang berjaya mendapat kerja hanya menerima purata gaji bulanan sebanyak RM2,000 sahaja dan trend majikan kini lebih berminat untuk membayar seorang pekerja yang boleh bekerja untuk bebanan lebih seorang pekerja. Dengan jumlah gaji bulanan seperti ini (sesudah ditolak KWSP), ia mendorong kepada tekanan yang tinggi lebih-lebih lagi kepada para lepasan Ijazah yang bekerja di bandar seperti Kuala Lumpur dimana segala kos seperti penginapan, makan minum, bil-bil utiliti, tempat letak kereta harian, harga petrol yang baru sahaja dinaikkan Kerajaan, kenaikan kos-kos barangan harian (banyak yang tidak dikawal) dan lain-lain untuk ditanggung dengan gaji bulanan yang rendah. Umum mengetahui bahawa pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan adalah tergolong dalam mereka yang berpendapatan rendah apatah lagi bagi peminjam yang sudah berkahwin pada usia muda. Faktor bekerja secara kontrak juga mendorong kepada tekanan untuk membayar balik pinjaman PTPTN ini kerana tiada keselamatan dalam pekerjaan seseorang itu kerana sesudah tamat kontrak, peluang untuk terus bekerja adalah 50-50. Sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetap pada waktu sebegini memandangkan biasanya majikan lebih memikirkan keuntungan syarikat berbading hak pekerja serta faktor kestabilan ekonomi yang tidak menentu. Tidak semua majikan mahu menawarkan kontrak pekerjaan dengan gaji bulanan yang tinggi.
Walaupun sudah ditetapkan di dalam kontrak pinjaman pengajian untuk membayar balik satu jumlah yang dipersetujui dan ditandatangani pelajar sebelumnya, tetapi harus juga diingat bahawa rata-rata pelajar yang membuat kontrak pinjaman seperti ini tidak begitu memahami apa yang terkandung dalam kontrak memandangkan rata-rata ketika itu mereka masih berumur 18 tahun yang baru memulakan pengajian di alam universiti, baru melepasi umur seorang minor. Kebanyakan mereka ketika itu hanya memikirkan untuk mendapatkan wang untuk belajar walaupun tidak kurang juga yang gagal mengawal kewangan mereka dengan baik digunakan sehingga habis dalam jangkamasa beberapa minggu sahaja. Ini adalah kerana mentaliti mereka ketika itu yang berumur belasan tahun tidak mengerti bebanan yang bakal dihadapi terutama untuk membayar balik pinjaman ini.
Pada pandangan saya, pihak Kerajaan perlu meniliti sedalamnya sebelum membuat keputusan untuk menetapkan penolakan gaji bulanan sebagai langkah untuk memastikan peminjam membayar balik pinjaman PTPTN ini. Saya ingin mencadangkan supaya bayaran balik melalui penolakan gaji ini bermula setelah para graduan sudah bekerja secara tetap sekurang-kurangnya dua tahun. Saya ulangi, hanya setelah peminjam bekerja tetap sekurang-kurangnya dua tahun, dan bukan secara kontrak. Ini untuk memastikan aliran kewangan seseorang itu tidak terjejas teruk berikutan ikatan bayaran balik pinjaman PTPTN ini khususnya mereka yang bekerja di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur seperti saya.
Comments
Post a Comment